Makam Dol Said
Dato' Dol Said, atau Abdul Said (1773 - 1849),
ialah Penghulu Naning yang kesembilan. Sejak kecil lagi, sifat
keberaniannya mula diperlihatkan apabila beliau mula belajar ilmu
mempertahankan diri atau seni silat sejak berusia enam tahun. Dol Said
seorang yang tekun mengaji, cekap dalam seni mempertahankan diri dan
sentiasa dihormati orang ramai. Beliau juga seorang yang taat kepada
kedua orang tuanya.Dol Said dilantik sebagai Penghulu Naning
menggantikan Penghulu Anjak pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun.
Semasa
Belanda memerintah Melaka selepas kejatuhan Portugis, Naning berada di
bawah kuasa Belanda dan mereka menghantar satu persepuluh hasil Naning
kepada Belanda. Tetapi kemudiannya Belanda telah mengiktiraf Naning
sebuah wilayah yang merdeka. Tetapi apabila British mengadakan
perjanjian dengan Belanda pada 1824 British menyerahkan Bengkulu,
Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada
pemerintahan British. Dan British memganggap Naning berada di bawah
pemerintahan mereka.British telah meminta Naning memberi satu persepuluh
daripada hasilnya. Dan ini dibantah oleh Penghulu Dol Said kerana
Naning telah merdeka.Sejak itu bermulalah persengketaan antara Dol Said
dengan Brtish yang membawa kepada perang Naning pertama 1831 dan Perang
Naning kedua 1832.
Perang Naning pertama yang berlaku pada tahun
1831 menjadikan beliau seorang wira yang telah mengukir tempat di
sejarah Melaka kerana berjaya mengalahkan British. British sebuah kuasa
besar dunia tetapi pernah dikalahkan oleh pahlawan-pahlawan Melayu dalam
perang Naning pertama pada tahun 1831 .Pada mulanya, British yakin
Naning boleh ditewaskan dalam masa sehari sahaja.Setelah 18 hari maka
tentera British terpaksa berundur setelah ramai tenteranya yang terbunuh
dan cedera. Sebelum berlakunya Perang Naning kedua
pada tahun 1832, British berjaya memecahbelahkan perpaduan orang-orang
Melayu dengan mengikat perjanjian dengan daerah-daerah yang bersempadan
dengan Naning termasuk Rembau, Sungai Ujung dan Seri Menanti.
Dalam
perang Naning pertama Dol Said mendapat bantuan daripada orang-orang
Rembau yang diketuai oleh Syed Saaban. Setelah adanya perjanjian itu
maka penghulu Rembau bukan sahaja menarik pahlawan-pahlawannya dari
Naning malah mereka membantu Inggeris menakluk Naning. Walaupun
tidak lagi mendapat bantuan dari Rembau dan daerah yang berjiran
dengannya namun Dol Said dan orang-orangnya bertekad mempertahankan
Naning. Pada April 1832 askar-askar Inggeris yang diketuai oleh
Kolenal Herbert dibantu oleh pasukan Rambau yang diketuai oleh Syed
Shaaban menyerang Naning bagi kali kedua.
Sekali lagi berlaku
pertempuran yang sengit antara kedua belah pihak. Dan setelah berlaku
pertempuran selama hampir dua bulan akhirnya Dol Said dan para
pengikutnya terpaksa berundur dari Naning. Namun kemenangan itu
tidak mengembirakan British kerana mereka terpaksa menangung kerugian
lebih dari 100,000 pound dan kehilangan ramai askar bagi menakluk sebuah
daerah kecil.