Selamat Datang ke Pusat Jualan Kraftangan Kg. Taboh Naning. Pusat jualan ini merupakan sebuah produk pelancongan berasakan membeli belah yang terdapat di Taboh Naning. Ia ini terletak di sepanjang jalan dari bulatan Plaza Tol Simpang Ampat menghala ke simpang lampu isyarat Kendong (Jalan yang menghala ke Rembau dan Tampin). Terdapat pelbagai produk yang menarik dijual di sini. Antaranya ialah LEMANG NANING, DODOL NANING, labu sayong, produk kraftangan, kompang, produk berasaskan kayu dan rotan, makanan dan pelbagai lagi produk. Di sini, terdapat lebih 10 gerai jualan yang menawarkan produk dan harga yang menarik dan berpatutan. Selamat Datang ke Taboh Naning, Melaka dan nikmatilah percutian yang meriangkan.
Lokasi Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka. 

Terletak lebih kurang 35 minit dari Bandaraya Melaka dan Seremban, sejam dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan dua jam setengah dari Johor Bahru dan Singapura.
Lokasi Negeri Melaka di Asia Tenggara..
 Masjid Dato' Dol Said
Masjid ini dibina pada tahun 1954 dan siap pada 1955 dengan perbelanjaan dari derma orang ramai. Masjid ini dibina untuk menggantikan masjid asal yang berasaskan (papan) yang dibina pada awal abad ke-20. Tapak asal masjid ini berhampiran dengan makam Allahyarham Dato’ Dol Said iaitu Dato’ Naning ke 9. Tapak masjid sekarang adalah tapak masjid yang diasaskan oleh Allahyarham Datuk Arshad iaitu Datuk Naning ke 15.Beliau bagaimanapun tidak dapat meneruskan pembinaan masjid itu oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Memandangkan kesesuaian dan keperluan sesebuah tempat ibadat,Allahyarham Datuk Mohd Shah,Datuk Naning ke 18 (sebagai pengerusi) bersama-sama AJK-AJK lain mengasaskan pembinaan masjid ini dengan jayanya pada tahun 1954.Kos pembinaan adalah dibiayai sendiri oleh ahli khariah, penyumbang-penyumbang luar khariah, dalam dan luar negara seperti Singapura,Indonesia,Brunei dan Thailand.
Air Panas Cherana Puteh

Kolam Air Panas Cherana Puteh ini terletak di Taboh Naning berhampiran landasan keretapi dari Tampin ke Seremban. Ia terletak sebelum simpang lampu isyarat Kendong dan berhampiran balai raya kg. Cherana Puteh. Air panas di sini didakwa mampunya banyak khasiat dalam tujuan perubatan. Antara kemudahan yang terdapat di sini ialah trek pejalan kaki, wakaf istirahat dan tandas. Kolam Air Panas Cherana Putih amat sesuai untuk dikunjungi kesemua lapisan masyarakat.
Makam Dol Said
 
Dato' Dol Said, atau Abdul Said (1773 - 1849), ialah Penghulu Naning yang kesembilan. Sejak kecil lagi, sifat keberaniannya mula diperlihatkan apabila beliau mula belajar ilmu mempertahankan diri atau seni silat sejak berusia enam tahun. Dol Said seorang yang tekun mengaji, cekap dalam seni mempertahankan diri dan sentiasa dihormati orang ramai. Beliau juga seorang yang taat kepada kedua orang tuanya.Dol Said dilantik sebagai Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun.

Semasa Belanda memerintah Melaka selepas kejatuhan Portugis, Naning berada di bawah kuasa Belanda dan mereka menghantar satu persepuluh hasil Naning kepada Belanda. Tetapi kemudiannya Belanda telah mengiktiraf Naning sebuah wilayah yang merdeka. Tetapi apabila British mengadakan perjanjian dengan Belanda pada 1824 British menyerahkan Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British. Dan British memganggap Naning berada di bawah pemerintahan mereka.British telah meminta Naning memberi satu persepuluh daripada hasilnya. Dan ini dibantah oleh Penghulu Dol Said kerana Naning telah merdeka.Sejak itu bermulalah persengketaan antara Dol Said dengan Brtish yang membawa kepada perang Naning pertama 1831 dan Perang Naning kedua 1832.

Perang Naning pertama yang berlaku pada tahun 1831 menjadikan beliau seorang wira yang telah mengukir tempat di sejarah Melaka kerana berjaya mengalahkan British. British sebuah kuasa besar dunia tetapi pernah dikalahkan oleh pahlawan-pahlawan Melayu dalam perang Naning pertama pada tahun 1831 .Pada mulanya,  British yakin Naning boleh ditewaskan dalam masa sehari sahaja.Setelah 18 hari maka tentera British terpaksa berundur setelah ramai tenteranya yang terbunuh dan cedera. Sebelum berlakunya Perang Naning kedua pada tahun 1832, British berjaya memecahbelahkan perpaduan orang-orang Melayu dengan mengikat perjanjian dengan daerah-daerah yang bersempadan dengan Naning termasuk Rembau, Sungai Ujung dan Seri Menanti.

Dalam perang Naning pertama Dol Said mendapat bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Saaban. Setelah adanya perjanjian itu maka penghulu Rembau bukan sahaja menarik pahlawan-pahlawannya dari Naning malah mereka membantu Inggeris menakluk Naning. Walaupun tidak lagi mendapat bantuan dari Rembau dan daerah yang berjiran dengannya namun Dol Said dan orang-orangnya bertekad mempertahankan Naning. Pada April 1832 askar-askar Inggeris yang diketuai oleh Kolenal Herbert dibantu oleh pasukan Rambau yang diketuai oleh Syed Shaaban menyerang Naning bagi kali kedua.

Sekali lagi berlaku pertempuran yang sengit antara kedua belah pihak. Dan setelah berlaku pertempuran selama hampir dua bulan akhirnya Dol Said dan para pengikutnya terpaksa berundur dari Naning. Namun kemenangan itu tidak mengembirakan British kerana mereka terpaksa menangung kerugian lebih dari 100,000 pound dan kehilangan ramai askar bagi menakluk sebuah daerah kecil.
Batu Megalith dipercayai merupakan kubur nenek moyang penduduk daerah Alor Gajah, Melaka. Terdapat hampir seratus kawasan pusara purba di sini yang dikenali sebagai "Megalith Datuk Tua". Salah satu kawasan purba yang telah dikenalpasti ialah di Kampung Cherana Putih, Taboh Naning Alor Gajah, Melaka. Batu ini dipercayai hidup dan membesar dan berkelip apabila disuluh cahaya pada waktu malam.